PROJEK CENDAWAN TIRAM KELABU: Direktori Penanam Pengusaha Cendawan Malaysia

PROMOSI NOTA CENDAWAN 2011

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI

ProjekCendawan 43 Komen & pandangan



Spesies tiram kelabu merupakan cendawan yang paling popular ditanam di negara ini.


SALAH satu perusahaan yang boleh dijalankan oleh petani dan pengusaha pertanian ialah penanaman cendawan disebabkan beberapa faktor.

Faktor utama adalah keuntungan yang tinggi yang boleh diperoleh dalam jangkamasa pendek di samping kos pengeluaran yang rendah dimana bahan-bahan sampingan pertanian boleh digunakan.

Potensi dari segi pemasaran dan kandungan nutrien pemakanan yang tinggi juga menyumbang kepada minat petani untuk menceburi bidang perusahaan ini.

Penanaman cendawan

tiram kelabu

Penyediaan bahan

- Bahan yang digunakan untuk menyediakan media cendawan ini ialah habuk kayu getah, dedak padi, kapur pertanian dengan nisbah (100:10:1) dan kelembapan air 75 peratus.

- Sebagai contoh, untuk menyediakan 200 beg media, campuran yang diperluaskan adalah 100 kilogram (kg) habuk kayu getah, 10 kilogram (kg) dedak padi dan 1 kg kapur pertanian dan dicampurkan dengan air agar kelembapan campuran tersebut adalah 75 peratus.

Pembungkusan dan pengukusan

- Campuran media yang telah disediakan akan dimasukan ke dalam beg plastik polypropylene (PP) yang berukuran 30 sentimeter (sm) x 10sm x 10 sm dan dipadatkan.

- Penapis udara dipasang dengan menggunakan gelang leher dan penutup (cap) beserta dengan span.

- Beg PP ini perlu dikukus selama antara empat dan enam jam pada suhu 1,000 darjah C dan kemudian disejukkan pada suhu bilik selama 28 jam (dua hari).

Penyuntikan benih dan pemeraman

- Sebelum kerja penyuntikan dijalankan, langkah kebersihan perlu dijalankan iaitu kebersihan diri, bilik suntikan dan pastikan tiada kotoran atau habuk serta membuat semburan larutan basmi kuman seperti Dettol, Lysol dan Jeypine.

- Peralatan suntikan adalah spatula/dawai.

- Penyuntik, spirit,lampu, pemetik api dan pelindung pernafasan.

- Tangan perlu dicuci dengan larutan basmi kuman dan pakai pelindung pernafasan.

- Celupkan dawai penyuntik ke dalam larutan spirit dan bakar.

- Panaskan mulut botol benih dan leraikan benih dengan dawai penyuntik.

- Suntikan lima hingga lapan gram benih cendawan bagi setiap beg PP dan tutup beg PP dengan penutup dan disusun di bilik pemeraman.

Pemeraman

- Proses pemeraman dijalankan dalam bilik biasa yang mana micelium akan dibiarkan merebak hingga memenuhi keseluruhan media substrat.

- Proses ini pada kebiasaannya mengambil masa 50 -60 hari dimana beg PP yang rosak atau tercemar akan diasingkan dan beg PP yang elok akan dipindahkan ke bilik penghasilan.

Penghasilan

- Selepas empat hingga lima hari penutup pengudaraan dibuka, putik cendawan akan kelihatan.

- Selepas cendawan tumbuh dan hasil cendawan tersebut dikutip, hasil cendawan tersebut bolehlah dibungkus mengikut kesesuaian.

- Selepas cendawan dipetik, beg PP direhatkan selama tujuh hingga 10 hari dengan menutup semula permukaan beg PP dan dibuka selepas itu untuk kutipan hasil kedua dan seterusnya dengan cara yang sama hingga enam atau lapan kali kutipan.

- Suhu optimum dalam bilik penghasilan adalah 250 darjah C dengan kelembapan di antara 80 dan 95 peratus.

- Untuk mendapatkan keadaan sedemikian penyiraman perlu dijalankan dua kali sehari pada waktu pagi dan petang.

- Cahaya yang sesuai adalah adalah dalam keadaan yang mana seseorang boleh membaca tulisan akhbar di dalam bilik berkenaan.

Musuh dan penyakit

- Perosak utama adalah tikus, lalat, lipas, hama dan nematoda.

- ulat lain yang biasa menyerang media substrat adalah seperti Penicillium, Aspergillus dan Trichoderma.

- Pengawalan adalah dengan menjaga kebersihan rumah cendawan dan rak-rak dengan menggunakan bahan kimia basmi kuman seperti Dettol dan Lysol setiap kali habis musim penanaman.

ProjekCendawan 5 Komen & pandangan


EWON Ebin (dua kiri) menyampaikan sijil tamat kursus kepada wakil peserta pada penutupan Kursus Penanaman Cendawan Bagi KIRMT Kuala Penyu di Kundasang, Sabah, kelmarin.


RANAU 15 Okt. - Golongan petani di daerah ini disaran supaya mengusaha tanaman cendawan sebagai pendapatan sampingan berikutan permintaannya yang semakin tinggi di pasaran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, cendawan mudah diusahakan dan memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Tanaman ini tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua atau tiga jam sehari untuk mengendalikannya. Ia amat sesuai dan berpotensi dijadikan punca pendapatan sampingan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutupan Kursus Penanaman Cendawan Bagi Ketua-Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) Kuala Penyu di Hotel Perkasa, Kundasang dekat sini semalam.

Seramai 35 KIRMT dari Kuala Penyu menyertainya yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kuala Penyu dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Desa (KPD) selama tiga hari.

Katanya, masih ramai yang tidak menyedari tanaman tersebut mudah diusahakan malah boleh dijadikan perusahaan utama untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, KPD menyediakan pelbagai bantuan seperti kursus penanaman, penjagaan, bekalan beg plastik dan baja termasuk teknik pembungkusan dan pemasaran.

Sementara itu, Pengurus Projek Penanaman Cendawan KPD, Jamilah Lee Abdullah berkata, cendawan kini mendapat permintaan berikutan khasiatnya yang tinggi untuk kesihatan.

Jamilah berkata, cendawan mempunyai protein dan vitamin yang tinggi berbanding sayur lain dan dipercayai boleh menjadi penawar kencing manis, anemia dan sengal sendi.

"Malah terdapat spesies cendawan yang boleh diguna untuk mencegah barah dan jangkitan virus HIV," katanya.

Pada masa kini, katanya, Sabah masih mengimport cendawan dari Semenanjung, China, Hong Kong dan Itali disebabkan pengeluaran tempatan yang masih tidak mencukupi.

Beliau berharap, tanaman tersebut mampu mengeluarkan KIRMT daripada kepompong kemiskinan.

ProjekCendawan 1 Komen & pandangan

JUMAT Moi menunjukkan kulat tahun yang dijualnya di tepi Jalan Gambang-Kuantan, Pahang.

Hidangan berasaskan cendawan atau kulat sememangnya mempunyai keenakan lain daripada sayuran yang lain.
Walaupun terdapat pelbagai variasi tumbuhan daripada kumpulan cendawan sama ada ditanam atau tumbuh meliar, ia tetap mendapat tempat di hati penggemarnya.
Sebut sahaja cendawan tiram atau butang, semuanya mudah didapati di mana-mana pasar, kedai atau pasar raya tetapi berlainan dengan cendawan yang tumbuh secara semula jadi yang dipanggil kulat tahun ini.
Sesetengah pendapat mendakwa kulat tahun lazimnya didapati tumbuh beberapa hari kemudian selepas dentuman petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan.
Keunikkan yang membezakan kulat tahun dengan cendawan lain ialah kerana ia tumbuh setahun hanya sekali dan sukar untuk memperolehnya kecuali di ladang-ladang kelapa sawit atau getah dan kawasan berbusut di belukar kampung.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini di ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir 6 melihat sendiri kulat tahun ini tumbuh dengan segar sekali dan benarlah seperti perumpamaan pepatah Melayu; ‘seperti cendawan tumbuh selepas hujan.’
Malah, sepanjang jalan menuju ke kawasan gugusan itu terdapat beberapa peneroka mengambil kesempatan menjual tumbuhan tersebut yang dikutip di ladang mereka.
Menurut peniaga, Jumat Moi, 53, dia mengambil kesempatan untuk berniaga cendawan yang lebih popular dengan nama kulat tahun ini kerana ingin memperkenalkannya kepada orang ramai.
‘‘Ramai yang tidak tahu akan kewujudan kulat tahun ini kerana ia tumbuh hanya sekali sahaja setahun iaitu sekitar Mac dan April.
‘‘Malah, kulat tahun tidak ditanam dan tiada di pasaran seperti cendawan tiram dan butang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jumat yang menjual kulat tahun di Jalan Gambang-Kuantan amat bertuah dan teruja kerana ia sangat laris dan diminati oleh setiap lapisan masyarakat.
‘‘Tak sangka ramai yang sukakan cendawan ini. Pada mulanya saya bimbang kulat tahun ini tidak mendapat sambutan kerana ia tidak menjadi sebutan seperti cendawan lain.
‘‘Rupa-rupanya sangkaan saya salah. Ramai yang ternanti-nantikan kulat tahun ini apabila tibanya bulan Mac,” ujarnya.
Difahamkan kulat tahun ini hanya tumbuh di lorong-lorong menuai di ladang kelapa sawit dan mengambil masa lima hari sahaja.
Tambah peneroka Felda Lepar Hilir 2 ini, kulat tahun akan tumbuh di kawasan yang sama setiap tahun terutama di atas busut dan tanah yang subur di ladang kelapa sawit.
‘‘Selalunya kulat tahun akan tumbuh selepas hujan dan akan bertahan dalam tempoh lima hari sahaja.
‘‘Jika selepas lima hari tumbuhan ini tidak dikutip, ia akan layu dan kelopaknya akan hancur dengan sendirinya,” jelasnya sambil memberitahu kebanyakan pelanggannya datang dari Kuantan dan Pekan.
Katanya, seandainya generasi terdahulu tidak memperkenalkan kulat tahun ini kepada generasi sekarang, maka tumbuhan ini akan terbiar begitu sahaja.
‘‘Generasi sekarang terutama golongan remaja tidak tahu bahawa tumbuhan ini boleh dimakan dan lebih sedap berbanding cendawan biasa.
‘‘Selain berniaga menambah pendapatan, saya berusaha memperkenalkan cendawan ini kepada generasi hari ini supaya satu hari nanti apabila mereka terjumpa tumbuhan ini, mereka tidak akan memandang seperti rumput sahaja,” ujarnya.
‘‘Satu masa nanti, jika cendawan ini masih ada pasti mereka tidak akan mensia-siakannya dan memperkenalkan pula kepada anak-anak dan cucu mereka.
‘‘Selain berkhasiat, kulat tahun yang akan lebih subur jika tumbuh di kawasan yang terkena petir ini rasanya lebih sedap jika dibuat sup,” tambahnya.
Jumat yang mengutip sendiri kulat tahun ini sejak hari pertama ia tumbuh menjual dengan harga RM2 seikat iaitu sebanyak sepuluh kuntum.
Sambil mengakhiri perbualan, peneroka ini sempat berpesan kepada mereka yang tidak sempat menikmati kelazatan cendawan ini supaya menunggu pada tahun akan datang.
‘‘Siapa yang tak sempat makan, kenalah tunggu tahun depan ya,” ujarnya sambil tersenyum.

Sedap rasanya macam sotong kalau buat sup atau rasa ayam goreng," itulah antara komen yang diberi oleh penggemar kulat tahun yang ditemui di Jalan Kuantan-Gambang dan ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir di sini baru-baru ini.
Seorang remaja, Azlinda Anuar, 23, dari Pekan berkata, dia yang sememangnya menggemari cendawan terutama cendawan goreng tidak menyangka kulat tahun yang juga dari tumbuhan cendawan begitu enak rasanya.
''Semalam kebetulan bapa saya lalu di sini dan ternampak orang menjual kulat tahun dan membelinya untuk makan malam.
''Disebabkan tak puas makan semalam, hari ini saya datang semula untuk membelinya dalam jumlah yang lebih banyak," katanya ketika ditemui di sebuah gerai di Jalan Gambang-Kuantan.
Tambahnya, kulat tahun yang dibelinya telah kembang dan nampak begitu segar berbanding yang bapanya beli sebelum ini kerana pada masa bapanya beli, kulat tahun itu belum kembang sepenuhnya.
''Saya harap rasanya lebih sedap berbanding semalam," ujarnya yang merancang untuk membuat sup pada kulat yang dibelinya.
Seorang peneroka, Ahmad Bahari, 50, pula berkata, setiap tahun sejak zaman kanak-kanak lagi, dia sering menunggu ketibaan bulan Mac untuk menikmati kulat tahun.
''Sejak dulu lagi saya akan lihat kulat tahun ini akan tumbuh di kawasan yang sama di lorong-lorong ladang kelapa sawit.
''Bukannya apa, tetapi rasa teruja apabila dapat cabut sendiri kulat ini dan boleh pilih sebanyak mana pun sama ada yang kembang atau yang baru berputik," jelasnya.
Katanya, kulat tahun ini akan bertambah sedap sekiranya ia semakin mekar berkembang berbanding yang baru berputik.
''Jika selepas lima hari kita tak kutip, tumbuhan ini akan hancur dengan sendirinya. Oleh yang demikian saya akan mengambil peluang ini dengan mengutip sebanyak mungkin selagi terdaya dan memberi kepada jiran-jiran," ujarnya.
Sementara itu, bagi seorang lagi peneroka, Abdul Jabar Abdul Wahab, 45, dalam keadaan hujan yang tidak menentu pada masa sekarang menyebabkan kulat ini hanya mampu hidup dalam beberapa hari sahaja.
''Dulu, apabila tiba sahaja musimnya kita boleh kutip kulat tahun ini dalam tempoh lebih daripada seminggu.
''Bagaimanapun, sekarang hanya mampu bertahan dalam masa lima hari," jelasnya.
Tambahnya, keluarganya amat menggemari kulat tahun ini kerana rasanya lebih manis berbanding cendawan biasa.
''Anak-anak saya cakap rasanya macam sotong," ujarnya yang akan menyajikan hidangan ini dalam bentuk sup.

ProjekCendawan 1 Komen & pandangan




SEBAHAGIAN bekas penagih dadah mempelajari teknik menanam cendawan di Pusat Ternakan Kambing Boer dan Cendawan Tiram, Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar.
MUAR 17 Mac - Golongan penagih dadah sering dipinggirkan masyarakat walaupun mereka telah insaf selepas menjalani pemulihan di pusat serenti.
Bagi mendekatkan diri dan membuka mata bekas penagih, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan pelbagai program untuk membuktikan golongan berkenaan juga boleh berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh dan diterima masyarakat.
Antara program atau kemahiran yang diberikan untuk memulakan kehidupan baru bagi golongan berkenaan adalah melibatkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan.
Menyedari manfaat latihan dan pengetahuan mengenai perkara tersebut, AADK telah menghimpunkan 25 bekas penagih dari seluruh negeri mengikuti kursus penanaman cendawan di Pusat Ternakan Kambing Boer dan Cendawan Tiram di Kampung Tengah, Sungai Terap, di sini.
Ketua Pengarah AADK Johor, K. Sukumaran berkata, program keusahawanan merupakan satu langkah yang bijak dan tepat kerana ia memberi peluang dan ruang kepada bekas penagih untuk memperbaiki diri masing- masing.
"Program keusahawanan anjuran AADK seumpama ini bukan sahaja berkesan, malah ia dapat melatih bekas penagih dengan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
"Selain itu, program ini juga memberi kemahiran kepada golongan berkenaan untuk menyelia projek pertanian," katanya ketika merasmikan majlis penutupan kursus tersebut di sini baru-baru ini.
Sukumaran memberitahu, program keusahawanan seumpama ini turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai pihak khususnya kepada bekas penagih.
"Program ini sekali gus menunjukkan kesungguhan AADK membantu bekas penagih supaya mereka pulang ke pangkal jalan dan mengusahakan projek pertanian yang mendatangkan hasil dan pendapatan pada masa depan," ujarnya.
Dalam pada itu, Zainal berpendapat, usaha yang dilakukan AADK menunjukkan kerajaan begitu komited membanteras masalah penagihan najis dadah.
"Program dua hari ini bukan sahaja menekankan dari aspek pembelajaran semata-mata, sebaliknya dipraktikkan dengan memberi tunjuk ajar kepada para peserta bagaimana cendawan tiram ditanam," katanya.
Sementara itu, Pengurus Wirajaya Marketing, Rashid Alias memberitahu, pihaknya berbesar hati menaja lokasi dan program seumpama itu.
Katanya, para peserta yang menyertai program keusahawanan itu bukan sahaja didedahkan dengan pengetahuan secara teori, malah turut diberi kemahiran praktikal dalam bidang pertanian.
"Pertanian berasaskan cendawan tiram semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan memberi keuntungan yang berlipat ganda," katanya yang turut menyumbang 3,000 bongkah cendawan tiram kepada para pelatih AADK.
Justeru, Rashid mengalu-alukan orang ramai terutamanya bekas penagih supaya menceburkan diri dalam bidang tersebut.

ProjekCendawan 1 Komen & pandangan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata langkah kerajaan memajukan sektor pertanian ternyata telah membawa kebaikan terutama sekali dengan pelbagai krisis yang melanda dunia ketika ini termasuk kekurangan makanan.

Perdana Menteri berkata kerajaan memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan perladangan kerana ia dilihat adalah sumber penting dan dapat meningkatkan ekonomi negara.

"Walaupun pada peringkat awal, orang menganggap Pak Lah nak maju ke depan tapi sentiasa pandang ke belakang, macamana nak maju ke depan? Tapi kita telah lihat bahawasa langkah yang kita ambil betul", katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di sini, hari ini.

Katanya krisis kekurangan makanan merupakan salah satu daripada pelbagai krisis yang melanda dunia ketika ini selain krisis kewangan dan kenaikan harga minyak yang telah membawa pelbagai masalah sampingan.

"Harga minyak sudah mula menurun tapi masalah kenaikan harga barang dan inflasi masih belum dapat ditangani secukupnya dan masalah-masalah lain yang telah berlaku.

"Macamana kita perlu hadapi semua ini...dengan sabar, jangan hilang keyakinan atau kelam kabut, tabah...dengan kekuatan yang kita ada supaya kita tidak terkubur dalam keadaan ini, dan supaya ekonomi kita tidak jadi begitu lemah sehingga tidak boleh dibangunkan semula," katanya.

Abdullah berkata kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk memastikan krisis berkenaan tidak melemahkan ekonomi negara dan menjejaskan usaha membangunkan negara mengikut perancangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam pada itu, Abdullah juga berharap pembaharuan yang beliau bertekad untuk dilaksanakan bagi memperkukuhkan institusi negara sebelum beliau berundur pada Mac tahun depan, dapat diluluskan oleh Parlimen menjelang tarikh itu.

Beliau merujuk kepada tiga rang undang-undang berkaitan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Aduan Khas yang dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen pada Februari tahun depan.